Saya dah cuba yang lain. Tapi yang ni yang best sekali. Sedap sungguh! Sila klik imej di atas.
Courtesy of Hanief

Thursday, February 25, 2010

Penguasaan wanita tidak membimbangkan: Nik Aziz

Sinar Harian (25/2/10): Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat menyifatkan penguasaan penjawat wanita dalam perkhidmatan awam yang semakin meningkat pada masa kini bukanlah sesuatu yang membimbangkan.

Sebaliknya, beliau berkata, Islam tidak membezakan di antara lelaki dan wanita melainkan dalam beberapa perkara yang membabitkan institusi kekeluargaan.

“Saya tidak bimbang. Pas masa mula-mula masuk pilihan raya dulu pun dah beri (peluang) kepada Khadijah Sidek jadi wakil Parlimen.

:“Dalam Islam tak ada lelaki atau perempuan yang lebih. Cuma dalam perkara tertentu ada diberikan kepada lelaki untuk mengetuai isteri. Itu saja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Kota Darul Naim di sini, semalam.

Nik Aziz berkata, kebimbangan itu tidak berlaku kerana pelantikan atau pengambilan dilakukan secara merit. Selain daripada itu terletak kepada merit.

Isnin lalu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bimbang berikutan penguasaan penjawat wanita dalam perkhidmatan awam yang semakin meningkat kini.

Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd Zin dilaporkan berkata, trend masa ini menunjukkan semakin ramai wanita dilantik memegang jawatan sebagai pembuat keputusan dan situasi itu mempunyai implikasi jangka panjang dalam aspek kemajuan dan pertumbuhan negara.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyangkal kenyataan Ahmad Syah dengan menyatakan bahawa pengambilan itu dilakukan berdasarkan merit dan kelayakan.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Nik Aziz enggan mengulas lanjut ketika diminta mengulas desakan masyarakat Orang Asli dari suku kaum Jakun yang meminta beliau memohon maaf secara berhubung kenyataannya yang menyamakan pemimpin yang melompat parti seperti orang jakun.

Kelantan tiada halangan wanita pegang jawatan tinggi - Nik Aziz

Bernama (24/2/10): Kerajaan negeri Kelantan tidak mempunyai sebarang halangan dan masalah dengan lebih ramai wanita memegang jawatan tinggi dalam sektor awam berbanding lelaki.

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata perkara yang paling penting adalah mutu perkhidmatan dan kualiti kakitangan awam itu yang perlu diambil kira tanpa mengira kakitangan itu wanita ataupun lelaki.

"Dalam Islam lelaki dan wanita sama sahaja. Tiada siapa yang lebih," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Cuepacs Ahmad Shah Mohd Zin Isnin lepas bahawa trend masa kini menunjukkan semakin ramai wanita dilantik memegang jawatan sebagai pembuat keputusan dan situasi itu mempunyai implikasi jangka panjang dalam aspek kemajuan dan pertumbuhan negara.

Nik Abdul Aziz berkata di dalam Islam, lelaki hanya mendahului wanita sebagai pemimpin dalam rumahtangga.

"Bagi saya ianya tidak menimbulkan sebarang masalah jika ramai wanita memegang jawatan tertinggi dalam sektor awam," katanya.

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP